Hadits-Hadits Rasulullah Yang Dijadikan Hujjah Oleh Syi’ah: HADITS AL-SAFINAH

KELIMA : HADIS AL-SAFINAH

Sebuah hujah yang sangat masyhur di sisi Syi‘ah ialah hadis:

Perumpamaan Ahl al-Baitku adalah seperti bahtera Nabi Nuh, sesiapa yang menaikinya akan selamat manakala sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam.

Syi‘ah menjadikan hadis ini sebagai hujah seperti berikut:

  

HUJAH SYI‘AH                                              

Muhammad Mari’i al-Amin menulis:[1]

Wahai pembaca yang budiman, sesungguhnya hadith yang mulia ini datangnya daripada Nabi SAWAW. Beliau telah menutup jalan-jalan yang  banyak. Justeru itu beliau tidak meninggalkan selain daripada jalan Ahlu l-Bait yang terang seperti matahari di siang hari. Beliau telah memimpin mereka ke jalan yang benar dengan hujah yang terang yang akan membawa mereka ke syurga.

Dan perumpamaan Ahlu l-Baitnya dengan bahtera Nuh adalah jelas menunjukkan bahawa mengikuti mereka, mematuhi kata-kata dan perbuatan-perbuatan mereka adalah wajib. Dan untuk mendapat kejayaan adalah dengan menaiki bahtera, nescaya mereka berjaya daripada tenggelam kerana bahtera itu terselamat daripada keaiban. Sekiranya terdapat kecacatan, nescaya binasalah orang yang berada di dalamnya tanpa syak lagi.

 

 


 

JAWAPAN AHL AL-SUNNAH            

 DARJAT HADIS AL-SAFINAH.          

Ini adalah sebuah hadis yang dha‘if. Ia memang diriwayatkan dalam banyak kitab Ahl al-Sunnah, namun yang diambil kira dalam menentukan sahih atau tidak sesebuah hadis ialah kedudukan sanad dan matannya, bukan jumlah rujukan. Diulangi:[2]

Diterima atau tidak sesebuah hadis diukur berdasarkan kedudukan sanad dan matannya, bukan jumlah rujukan.


Oleh itu sekalipun Hadis al-Safinah kelihatan masyhur dicatit dalam banyak rujukan, dari sudut sanad ia hanya berpangkal kepada lima orang sahabat: ‘Abd Allah ibn ‘Abbas, ‘Abd Allah bin al-Zubair, Abu Zar, Abu Sa‘id al-Khudri dan Anas bin Malik radhiallahu ‘anhum. Setiap dari jalan periwayatan yang berpangkal kepada para sahabat di atas memiliki kelemahan di dalamnya. Kelemahan-kelemahan ini pula adalah berat sehingga jalan-jalan periwayatan tersebut tidak boleh digunakan untuk saling menguat antara satu sama lain.

Penulis tidak akan menyenaraikan jalan-jalan periwayatan bersama penjelasan tentang kelemahannya kerana ia akan mengambil ruang yang amat besar. Para pembaca yang berminat boleh merujuk kepada Silsilah al-Ahadits al-Dha‘ifah wa al-Maudhu‘ah oleh al-Albani, hadis no: 4503.

Dalam rangka cuba mensahihkan Hadis al-Safinah, Muhammad Mar’i al-Amin telah melakukan dua pendustaan:

Pendustaan pertama:

Muhammad Mar’i al-Amin berkata:[3]

Para ulama Islam telah bersepakat tentang kesahihan hadith ini. Ianya telah diriwayatkan oleh para ulama Sunnah dan Syi’ah di mana lebih seratus daripada para penghafal, ahli Hadith, Sirah, Sejarah telah mencatatnya di dalam buku-buku mereka, mengakui kepentingannya kerana kepatuhan kepada kebesaran Allah SWT. Mereka menerimanya dengan senang hati.

Kenyataan di atas adalah dusta kerana para ulama’ Islam tidak pernah bersepakat di atas kesahihan Hadis al-Safinah. Tidak sekadar itu, sejauh kajian penulis, hanya seorang ulama’ Islam yang mensahihkan Hadis al-Safinah – iaitu al-Hakim al-Naisaburi di dalam kitabnya al-Mustadrak. Sila rujuk hadis no: 3312 (Kitab al-Tafsir, Bab tafsir surah Hud) dan hadis no: 4720 (Kitab Ma’refah al-Shahabah, Bab manaqib ahli keluarga Rasulullah). al-Hakim al-Naisaburi rahimahullah dikenali bersikap mudah-mudahan (tasahul) dalam mensahihkan sesuatu hadis sehingga pensahihannya tidak diterima oleh para ahli hadis selepasnya.[4]

 

Pendustaan kedua:

Muhammad Mar’i al-Amin berkata:[5]

Di dalam riwayat Muslim: “Dan siapa yang membelakanginya akan tenggelam. Sesungguhnya umpama Ahlul Baitku pada kalian sepertilah pintu pengampunan bagi Bani Isra’il. Siapa yang memasukinya akan diampun.” Dan dalam riwayat yang lain: “Dosa-dosanya akan diampun.”

Beliau juga berkata:[6]

Walaubagaimanapun aku kemukakan sebahagian daripada nama-nama ulama Ahlul -Sunnah yang meriwayatkan hadith al-Safinah di dalam buku-buku mereka: Muslim di dalam Sahihnya, Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya……

Kedua-dua kenyataan di atas adalah dusta kerana Hadis al-Safinah tidak wujud di dalam Shahih Muslim dan Musnad Ahmad bin Hanbal.

  

MAKSUD HADIS AL-SAFINAH.

Hadis al-Safinah bukan sahaja lemah dari sudut sanad tetapi tertolak daripada sudut matan. Sebabnya:

1.      Faktor penentu selamat atau tidak kaum Nabi Nuh ‘alahissalam bukanlah menaiki bahtera atau tertinggal daripadanya. Namun yang menjadi penentu ialah beriman atau tidak kepada risalah tauhid yang disampaikan oleh Nabi Nuh. Maka demikian juga bagi umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, faktor penentu selamat atau tidak bukanlah Ahl al-Bait Rasulullah tetapi beriman atau tidak kepada risalah Islam yang disampaikan oleh baginda.

2.      Faktor penentu selamat atau tidak para penumpang bahtera Nabi Nuh ‘alahissalam bukanlah kuat atau lemah binaannya. Namun yang menjadi penentu ialah doa para penumpangnya serta pemeliharaan Allah ke atas mereka. Maka demikian juga bagi umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, faktor penentu selamat atau tidak bukanlah membai‘ah Ahl al-Bait Rasulullah menjadi khalifah tetapi menjadikan Allah sumber utama keselamatan.

Dua faktor di atas akan dapat difahami dengan lebih baik apabila kita menghalusi ayat-ayat al-Qur’an tentang Nabi Nuh ‘alahissalam dan kaumnya:

 

 

Sebab Pertama:

Faktor penentu selamat atau tidak kaum Nabi Nuh ‘alahissalam bukanlah menaiki bahtera atau tertinggal daripadanya. Namun yang menjadi penentu ialah beriman atau tidak kepada risalah tauhid yang disampaikan oleh Nabi Nuh. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tentang risalah tauhid yang disampaikan oleh Nabi Nuh:

Sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang besar (hari kiamat).” [al-A’raaf 7:59]

 

Kemudian Allah membezakan antara kaumnya yang selamat dan tidak selamat, iaitu mereka yang beriman kepada risalah tauhid yang disampaikan oleh Nabi Nuh dan mereka yang mendustakannya:

Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami karamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (matahatinya daripada melihat kebenaran). [al-A’raaf 7:64]

 

Maka demikian juga bagi umat Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, faktor penentu selamat atau tidak bukanlah Ahl al-Bait Rasulullah tetapi beriman atau tidak kepada risalah Islam yang disampaikan oleh baginda. Ini kerana mereka (Ahl al-Bait) juga terikat kepada mentaati risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

Dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 204 (Kitab al-Iman, Bab berkenaan firman Allah: “Dan berilah peringatan kepada kerabatmu yang dekat”), apabila turunnya ayat:

Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat. [al-Syu‘ara’ 26:214],

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menyeru orang-orang Quraish dan memberi mereka peringatan yang bersifat umum. Kemudian baginda menyeru secara khusus dengan bersabda:

 

Wahai Bani Ka‘b bin Luay! Peliharalah diri kalian daripada api neraka. Wahai Bani Marrah bin Ka’b! Peliharalah diri kalian daripada api neraka. Wahai Bani ‘Abd Syams! Peliharalah diri kalian daripada api neraka.

Wahai Bani ‘Abd Manaf! Peliharalah diri kalian daripada api neraka. Wahai Bani Hasyim! Peliharalah diri kalian daripada api neraka. Wahai Bani ‘Abd al-Muthalib! Peliharalah diri kalian daripada api neraka. Wahai Fathimah! Peliharalah diri engkau daripada api neraka.

Sesungguhnya aku tidak memiliki apa-apa kekuasaan di hadapan Allah kecuali bahawa bagi kalian kekerabatan yang akan aku sambung dengan kalian.

 

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menerangkan bahawa satu-satunya hubungan yang baginda miliki dengan Ahl al-Baitnya ialah hubungan kekerabatan. Selain itu baginda tidak memiliki apa-apa hubungan, apatah lagi hubungan yang dapat membela mereka pada Hari Akhirat kelak daripada api neraka. Oleh itu hendaklah setiap Ahl al-Bait memelihara diri mereka daripada api neraka dengan mentaati perintah larangan Allah dan Rasul-Nya. Ini selari dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala seterusnya:

Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!” [al-Syu‘ara’ 26:216]

 

Justeru ditekankan semula bahawa keselamatan seluruh umat Islam, termasuklah Ahl al-Bait Rasulullah, bergantung kepada ketaatan mereka kepada risalah Islam yang diturunkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Ahl al-Bait tidak mampu menjamin keselamatan umat Islam kerana mereka sendiri tidak terjamin kedudukannya di sisi Allah pada Hari Akhirat kelak.

 

Sebab Kedua:

Faktor penentu selamat atau tidak para penumpang bahtera Nabi Nuh ‘alahissalam bukanlah kuat atau lemah binaannya. Namun yang menjadi penentu ialah doa para penumpangnya serta pemeliharaan Allah ke atas mereka. Hal ini dikhabarkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman), naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: “Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Hud 11:41]

 

Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim.” Dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat.” [al-Mu’minun 23:28-29]

Maka Kami selamatkan dia (Nabi Nuh) dan orang-orang yang bersama-sama dengannya dalam bahtera yang penuh sarat (dengan pelbagai makhluk). [al-Syu‘ara’ 26:119]

 

Maka demikian juga bagi umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam, faktor penentu selamat atau tidak bukanlah membai‘ah Ahl al-Bait Rasulullah menjadi khalifah tetapi menjadikan Allah sumber utama keselamatan. Ini kerana Ahl al-Bait sendiri tidak mampu menjaga keselamatan diri mereka sendiri, apatah lagi untuk menjaga keselamatan orang lain. Hanya Allah yang mampu menjaga keselamatan umat Islam secara mutlak. Oleh itu hendaklah Ahl al-Bait secara khusus dan umat Islam secara umum sentiasa meletakkan sumber keselamatan mereka kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hadis al-Safinah bukan sahaja tertolak apabila dibandingkan dengan asas-asas ajaran Islam, ia juga tertolak apabila dibanding dengan hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menerangkan keutamaan Ahl al-Bait.

Terperanjat?

Ikutilah penjelasan seterusnya. Sebelum itu marilah kita mengkaji semula matan Hadis al-Safinah:

Perumpamaan Ahl al-Baitku adalah seperti bahtera Nabi Nuh, sesiapa yang menaikinya akan selamat manakala sesiapa yang tertinggal daripadanya akan tenggelam.

Berdasarkan matan di atas, bererti Ahl al-Bait Rasulullah ialah bahtera manakala umat Islam yang menaikinya menjadi para penumpangnya. Jika ini diukur berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, yang diberi kedudukan yang utama ialah para penumpang bahtera, bukan bahtera itu sendiri. Keutamaan tersebut wujud dalam dua bentuk:

 

Keutamaan Pertama:

Para penumpang bahtera dikurniakan nikmat yang melimpah-limpah oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil – dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis. [Maryam 19:58]

 

Keutamaan Kedua:

Para penumpang bahtera dijadikan khalifah:

Lalu mereka mendustakan Nuh, maka Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pemegang kekuasaan dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang diberi peringatan itu. [Yunus 10:73][7]

Kedua-dua keutamaan di atas hanya diberikan kepada para penumpang bahtera, bukan bahtera itu sendiri. Justeru Hadis al-Safinah sebenarnya memberi keutamaan kepada umat Islam dan bukannya Ahl al-Bait. Tidak sekadar itu, Hadis al-Safinah juga memberikan kedudukan “khalifah” kepada umat Islam. Pada waktu yang sama Hadis al-Safinah menafikan apa-apa keutamaan daripada Ahl al-Bait, malah mengumpamakan mereka sebagai sebuah benda yang dijadikan kenderaan oleh orang lain. Pasti ini bukanlah satu keutamaan jika dinilai berdasarkan nas-nas yang sahih dan pemikiran yang sihat.

Sungguh menghairankan bagaimana tokoh-tokoh Syi‘ah boleh mengemukakan Hadis al-Safinah sebagai hujah kekhalifahan Ahl al-Bait padahal hadis itu sendiri menafikan kekhalifahan tersebut, malah menyerahkannya kepada umat Islam. Semua ini tidak lain menunjukkan bahawa tokoh-tokoh Syi‘ah sebenarnya tidak memiliki apa-apa dalil yang jitu untuk dijadikan hujah. Lalu mereka mencari apa sahaja dalil yang dapat mereka permainkan untuk ditakwil dan dipaksa-paksa maksudnya ke arah mendukung mazhab mereka. Sedangkan apabila dianalisa betul-betul dalil tersebut, ternyata ia tidak mendukung mazhab mereka, malah bertindak meruntuhkannya.


Kesimpulan:

  • Hadis al-Safinah adalah lemah dari sudut sanad dan tertolak dari sudut matan.
  • Seandainya ia sahih, Hadis al-Safinah sebenarnya menghina Ahl al-Bait dan menafikan mereka daripada kedudukan khalifah.

 

[1]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith al-Safinah). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 150-151.

 

[2]           Lebih lanjut, sila ulangkaji semula buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah (Siri Pertama), ms. 107 dan seterusnya.

 

[3]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith al-Safinah). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 146.

 

[4]         Lebih lanjut, sila ulangkaji semula buku Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah (Siri Pertama), ms. 135 dan seterusnya.

 

[5]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith al-Safinah). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 147.

 

[6]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith al-Safinah). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 149.

 

[7]           Terjemahan daripada al-Qur’an dan Terjemahannya yang diterbitkan oleh Yayasan Penyelenggara Penterjemah & Penafsir al-Qur’an, Indonesia.

Sumber: eBook “Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah” By Hafiz Firdaus Abdullah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: