Hadits-Hadits Rasulullah Yang Dijadikan Hujjah Oleh Syi’ah: HADITS AL-DAR

KEENAM : HADIS AL-DAR

Dilaporkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh:

Sesungguhnya inilah (‘Ali) saudaraku, wasiku (orang yang melaksanakan wasiatku) dan khalifahku pada kalian.

Marilah kita mengkaji kisah di sebalik hadis ini dan bagaimana Syi‘ah menjadikannya sebagai hujah.

 

HUJAH SYI‘AH                                              

Kisah di sebalik Hadis al-Dar dikemukakan secara lengkap oleh al-Tabari sebagaimana yang dinukil oleh Muhammad Mar‘i al-Amin di dalam bukunya:[1]

‘Ali bin Abu Talib AS berkata: Manakala ayat al-Indhar (al-Syuara’ (26):214): “Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat” diturunkan ke atas Rasulullah SAWAW, beliau memanggilku dan berkata: “Wahai ‘Ali! Sesungguhnya Allah telah memerintahkanku supaya memberi peringatan kepada keluarga anda yang terdekat. Maka akupun merasa cemas, kerana aku mengetahui bahawa apabila aku kemukakan kepada mereka perkara ini, aku akan lihat apa yang aku tidak meyukainya.” Maka beliau terus berdiam diri mengenainya sehingga datang Jibra’il dan berkata: “Wahai Muhammad! Sekiranya anda masih tidak melaksanakan apa yang diperintahkan kepada anda, nescaya anda akan disiksa oleh Tuhan anda.”

(Rasulullah menyambung):[2] “Justeru itu sedialah (wahai ‘Ali) untuk kami segantang makanan dan letakkan di atasnya satu kaki kambing serta isikan untuk kami satu bekas yang berisi susu. Kemudian kumpulkan untukku Bani Abdu -Muttalib sehingga aku sendiri bercakap kepada mereka dan menyampaikan apa yang diperintahkan kepadaku.”

Maka aku (‘Ali) melakukan apa yang diperintahkannya. Kemudian aku menjemputkan mereka untuknya. Bilangan mereka pada hari itu lebih kurang empat puluh orang lelaki. Di antaranya bapa-bapa saudaranya Abu Talib, Hamzah, al-‘Abbas dan Abu Lahab. Apabila sahaja mereka berkumpul di tempatnya, beliau memanggilku supaya membawa makanan yang aku sediakan untuk mereka. Manakala aku meletakkanya, Rasulullah SAWAW mengambil sepotong daging dan memecahkannya dengan giginya. Kemudian mencampakkannya di tepi hidangan itu, kemudian beliau bersabda: “Ambillah kalian dengan nama Allah.” Orang ramai memakannya sehingga kenyang. Aku tidak melihat melainkan tempat tangan mereka. Demi Allah di mana jiwa ‘Ali di tanganNya. Sekiranya seorang daripada mereka memakannya, nescaya aku tidak dapat mengemukakannya kepada yang lain. Kemudian beliau bersabda: “Berikan minuman kepada mereka semua.” Maka aku membawa kepada mereka bekas itu. Mereka meminumnya sehingga puas. Demi Tuhan sekiranya seorang daripada mereka meminumnya nescaya ianya tidak akan mencukupi untuk orang lain.

Apabila Rasulullah SAWAW ingin bercakap kepada mereka, Abu Lahab mendahuluinya dan berkata: “Sahabat kalian telah menyihirkan kalian.” Maka orang ramaipun bersurai tanpa memberikan kesempatan kepada Rasulullah SAWAW untuk memperkatakan sesuatu kepada mereka. Maka beliau bersabda: “Besok wahai ‘Ali sesungguhnya lelaki ini telah mendahuluiku sebagaimana anda telah mendengarnya. Maka orang ramaipun bersurai sebelum sempat aku memperkatakan kepada mereka. Justeru itu sedialah makanan untuk kami sebagaimana anda telah menyediakannya kelmarin. Kemudian kumpulkan mereka untukku.”

Maka akupun  (‘Ali) melakukannya. Kemudian aku mengumpulkan mereka. Kemudian beliau memanggilku supaya aku membawa makanan itu. Maka akupun membawanya kepada mereka. Beliau melakukannya sebagaimana beliau telah melakukannya kelmarin. Mereka makan sehingga kenyang. Kemudian beliau bersabda: “Berikan mereka minuman.” Maka akupun membawa minuman campuran susu itu. Lalu mereka meminumnya dengan sepuas-puasnya. Kemudian Rasulullah SAWAW bercakap dan bersabda:

“Wahai Bani ABdu l-Muttalib! Sesungguhnya demi Tuhan, aku tidak mengetahui seorang pemuda Arab yang datang kepada kaumnya dapat mengemukakan apa yang lebih baik daripada apa yang aku kemukakan untuk kalian. Sesungguhnya aku akan membawa kepada kalian kebaikan dunia dan akhirat. Sesungguhnya Allah telah memerintahkanku supaya menyeru kalian kepadaNya. Maka siapakah di kalangan kalian yang akan membantuku di dalam urusan ini dan dialah yang akan menjadi saudaraku, wasiku, dan khalifahku pada kalian?”

Dia (‘Ali) berkata, orang ramai mulai merasa cemas mengenainya. Maka akupun berkata: “Sesungguhnya aku adalah orang yang paling muda di kalangan mereka, orang yang paling mengidap sakit mata di kalangan mereka, orang yang paling besar perut di kalangan mereka dan orang yang paling kecil betisnya di kalangan mereka. Aku, wahai Nabi Allah, akan menjadi wazir anda di dalam perkara itu.”

Maka beliaupun memegang tengkukku. Kemudian beliau bersabda: “Sesungguhnya ini adalah saudaraku, wasiku dan khalifahku pada kalian. Maka dengarlah kalian kepadanya, dan patuhilah.”

Beliau[3] berkata: “Orang ramai bangun dan ketawa sambil berkata kepada Abu Talib, sesungguhnya beliau telah memerintahkan anda supaya mendengar anak anda dan mematuhinya.

Demikianlah nukilan kisah di sebalik Hadis al-Dar. Muhammad Mar’i al-Amin merumuskan hujah yang terkandung di dalam Hadis al-Dar sebagai berikut:[4]

Hadith yang mulia ini adalah satu dalil yang terang dan hujah yang pemutus bahawa khalifah selepas Rasulullah SAWAW ialah ‘Ali bin Abu Talib AS. Kerana Nabi SAWAW telah mengeluarkan perintah ini pada permulaan dakwahnya dan telah menjadikan ‘Ali wazirnya kerana tidak ada seorangpun dikalangan orang-orang yang menghadiri masjlis itu setelah tiga kali dilakukannya menyahut seruannya. Malah pada setiap kali ‘Ali berdiri sambil berkata: “Aku wahai Rasulullah” dan pada akhirnya Rasulullah SAWAW bersabda kepadanya: “Andalah saudaraku, wazirku, wasiku, khalifahku selepasku. Oleh itu kalian dengar dan patuhilah beliau.”

Demi Tuhan anda wahai pembaca yang budiman. Adakah di sana nas yang lebih terang daripada ini tentang khalifah Ali AS selepas Rasulullah SAWAW secara langsung? Wahai Muslimun! Kenapa fanatik terus berlaku sedangkan wujudnya nas yang terang di dalam buku-buku Ahlu s-Sunnah sendiri bahawa kekhalifahan ‘Ali adalah secara langsung. Dan penangguhannya memerlukan dalil dan tidak ada di sana sebarang dalil.

Seterusnya marilah kita membahas, sejauh manakah kebenaran hujah Syi‘ah bahawa Hadis al-Dar adalah dalil yang melantik ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh menjadi khalifah umat Islam sesudah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan perbahasan ini, dapat kita bezakan siapa yang sebenarnya fanatik.

 


 

JAWAPAN AHL AL-SUNNAH            

Perbahasan dimulakan dengan mengkaji darjat kekuatan Hadis al-Dar.

 

DARJAT HADIS AL-DAR.

Riwayat Hadis al-Dar terbahagi kepada dua kategori:

1.      Kategori pertama adalah riwayat-riwayat yang menerangkan tindakan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menjemput Bani ‘Abd al-Muthalib dan mendakwah mereka ke arah Islam. Riwayat-riwayat sebegini memang banyak dan masyhur dicatit dalam kitab-kitab hadis dan sejarah.

2.      Kategori kedua adalah riwayat-riwayat yang sama dengan Kategori Pertama, hanya ia diikuti dengan pertanyaan Rasulullah kepada Bani ‘Abd al-Muthalib, siapakah di antara mereka yang sanggup menjadi menteri, pelaksana wasiat dan khalifah baginda. Riwayat-riwayat dalam Kategori Kedua ini hanya tercatit dalam segelintir kecil kitab hadis dan sejarah.

Perbahasan tentang darjat Hadis al-Dar akan ditumpukan kepada riwayat-riwayat dalam Kategori Kedua. Ia memiliki tiga jalan periwayatan sepertimana berikut:

 

 

Jalan Periwayatan Pertama:

Ia adalah riwayat yang dikemukakan oleh Muhammad Mar’i al-Amin sebagaimana yang dinukil sebelum ini. Ia dikeluarkan oleh al-Tabari di dalam kitab Tarikhnya, jld. 1, ms. 542 (Bab sejarah sebelum hijrah) dengan sanad seperti berikut:

Dihadiskan kepada kami oleh Ibn Humaidi, dia berkata, dihadiskan kepada kami oleh Salamah, dia berkata, dihadiskan kepada aku oleh Muhammad bin Ishaq, daripada ‘Abd al-Ghaffar bin al-Qasim, daripada al-Minhal (bin ‘Amr al-Asdi), daripada ‘Amr, daripada ‘Abd Allah bin al-Harits bin Naufal bin al-Harits bin ‘Abd al-Muthalib, daripada ‘Abd Allah bin ‘Abbas, daripada ‘Ali bin Abi Thalib, (dia) berkata……

Dalam sanad ini paling kurang terdapat dua kecacatan:

1.      Muhammad bin Ishaq: Beliau terkenal dengan sifat tadlis, iaitu menyembunyikan daripada siapa dia menerima sesebuah hadis. Riwayat beliau daripada ‘Abd al-Ghaffar bin al-Qasim dengan lafaz ‘an (daripada) tidak diterima dalam ilmu hadis. Berkata Ibn Hajar al-’Asqalani: “Jujur (tetapi) masyhur dengan (sifat) tadlis daripada orang-orang yang dha‘if (lemah) dan majhul (tidak dikenali).”[5]

2.      ‘Abd al-Ghaffar bin al-Qasim: Beliau ialah ‘Abd al-Ghaffar bin al-Qasim Abu Maryam al-Anshari. Seorang Syi‘ah yang ditolak hadis-hadisnya kerana dikenali sebagai seorang pendusta yang mencipta hadis. Berkata ‘Ali bin al-Madani dan Abu Daud: “Dia seorang pencipta hadis.” Berkata Abu Daud: “Abu Maryam seorang pendusta.” Berkata Abu Hatim, al-Nasa’i, al-Daruquthni dan selain mereka: “Matruk al-Hadis (ditinggalkan hadisnya).”[6]

 

Jalan Periwatan Kedua:

Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnadnya – hadis no: 883 (Musnad 10 sahabat yang diberi khabar gembira dengan syurga, Musnad ‘Ali bin Abi Thalib)[7] dengan sanad:

Dihadiskan kepada kami oleh Aswad bin ‘Amir, (dia berkata), dihadiskan kepada kami oleh Syarik (bin ‘Abd Allah al-Nakha‘i), daripada al-Amasy (Sulaiman bin Mahran), daripada al-Minhal (bin ‘Amr al-Asdi), daripada ‘Abbad bin ‘Abd Allah al-Asdi, daripada ‘Ali radhiallahu ‘anh, (dia) berkata……

Di dalam sanad ini juga terdapat dua kecacatan:

1.      Syarik bin ‘Abd Allah al-Nakha‘i, beliau seorang yang jujur (shaduq) dan terpercaya (thiqah) tetapi banyak berbuat silap dan berubah-ubah hafalannya sejak menjadi pemimpin para qadhi di Kufah. Berkata Abu Daud: “Seorang yang thiqah tetapi banyak silap apabila meriwayatkan daripada al-‘Amasy.” Lebih dari itu beliau juga dikenali dengan sifat tadlis sekalipun tidak banyak.[8]

2.      ‘Abbad bin ‘Abd Allah al-Asdi, beliau adalah seorang perawi yang lemah (dha‘if), bahkan dituduh sebagai pencipta hadis. Berkata al-Azdi: “Dia meriwayatkan hadis-hadis yang tidak boleh dijadikan ikutan.” Ibn Hibban menyatakan beliau terpercaya (thiqah) akan tetapi Ibn Hibban sendiri dikenali sebagai bersikap bermudah-mudahan (tasahul).[9]

Oleh itu berkata Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas hadis di atas di dalam Musnad Ahmad: “Isnadnya dha‘if kerana lemahnya Syarik bin ‘Abd Allah al-Nakha‘i dan ‘Abbad bin ‘Abd Allah al-Asdi.”

 

Jalan Periwayatan Ketiga:

Dikeluarkan oleh al-Tsa’labi di dalam kitabnya al-Kasyf wa al-Bayan, jld. 7, ms. 182 (tafsir ayat 214 surah al-Syu‘ara) dengan sanad:

Dikhabarkan kepada aku oleh al-Husain bin Muhammad bin al-Husain, dia berkata, dihadiskan kepada kami Musa bin Muhammad bin ‘Ali bin ‘Abd Allah, dia berkata, dihadiskan kepada kami al-Hasan bin ‘Ali bin Syabib al-Mu‘amar, dia berkata, dihadiskan kepada aku ‘Abbad bin Ya’kub (al-Rawajani), dia berkata, dihadiskan kepada kami ‘Ali bin Hasyim (bin al-Baridi), daripada Shabah bin Yahya al-Muzani, daripada Zakariyya bin Maisarah daripada Abi Ishaq (‘Amr bin ‘Abd Allah bin ‘Ubaid), daripada al-Bara’ (bin ‘Azib), (dia) berkata ……

Dalam sanad di atas terdapat dua kecacatan:


1.    ‘Abbad bin Ya’kub al-Rawajani dan ‘Ali bin Hasyim bin al-Baridi adalah dua orang perawi yang diperselisihkan. Mereka beraliran Syi‘ah dan pada waktu yang sama adalah perawi yang thiqah (terpercaya). Para ahli hadis Ahl al-Sunnah menerima hadis-hadis yang mereka riwayatkan selagi mana ia tidak melibatkan aliran Syi‘ah.

2.      Shabah bin Yahya al-Muzani. Beliau adalah seorang perawi yang ditinggalkan (matruk), bahkan dituduh sebagai pencipta hadis.[10]

Daripada tiga jalan periwayatan di atas, jelas bahawa Hadis al-Dar yang diakhiri dengan lafaz “Sesungguhnya inilah (‘Ali) saudaraku, wasiku (orang yang melaksanakan wasiatku) dan khalifahku pada kalian” adalah dha‘if. Jalan-jalan periwayat di atas tidak dapat untuk saling menguat antara satu sama lain kerana masing-masing memiliki kecacatan yang berat di dalamnya.

Lebih dari itu, sekalipun Hadis al-Dar dapat diangkat ke darjat hasan (Hasan lighairihi), ia tetap tidak dapat membantu penghujahan Syi‘ah. Ikutilah penjelasannya.

  

MAKSUD HADIS AL-DAR.[11]

Apabila Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam menerima wahyu perutusan yang pertama sebagai seorang Rasul Allah, baginda hanya berdakwah kepada ahli keluarganya yang terdekat seperti isterinya Khadijah radhiallahu ‘anha dan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh. Kemudian Allah Subhanahu wa Ta‘ala memerintahkan agar dakwah diperluaskan kepada saudara-mara baginda dengan firman-Nya:

Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” [al-Syu‘ara’ 26:214]

Berdasarkan perintah Allah dalam ayat di atas, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memanggil dan menghimpun saudara-mara baginda dari kalangan Bani ‘Abd al-Muthalib yang berjumlah sekitar 40 orang. Ini sebagaimana riwayat al-Tabari yang dikemukakan sebelum ini. Perkara penting yang perlu disedari adalah saudara-mara tersebut adalah mereka yang masih belum memeluk Islam, seperti Abu Lahab. Jika mereka sudah memeluk Islam, pasti tidak perlu Rasulullah menghimpun mereka untuk didakwah kepada Islam.

Setelah berdakwah kepada mereka, Rasulullah diriwayatkan bertanya: “Maka siapakah di kalangan kalian yang akan membantuku di dalam urusan ini dan dialah yang akan menjadi saudaraku, wasiku, dan khalifahku pada kalian?” Saudara, pelaksana wasiat dan khalifah yang dimaksudkan oleh Rasulullah bukanlah ke atas umat Islam tetapi ke atas kaum keluarganya sendiri. Ini kerana baginda bimbang seandai dirinya ditimpa musibah oleh orang-orang yang mengingkari dakwahnya. Atas kebimbangan inilah baginda awal-awal lagi ingin melantik seorang saudara pembantu, pelaksana wasiat dan pemimpin yang mengurusi hal ehwal keluarganya.

Kebimbangan Rasulullah ini terus disambut oleh ‘Ali dimana beliau bersedia menjadi pembantu, pelaksana wasiat dan khalifah ke atas kaum keluarga Rasulullah. Ini diterima oleh Rasulullah sehingga baginda diriwayatkan bersabda: “Sesungguhnya ini adalah saudaraku, wasiku dan khalifahku pada kalian. Maka dengarlah kalian kepadanya, dan patuhilah.”[12]

Oleh itu Hadis al-Dar tidak berperanan melantik ‘Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah umat Islam. Penafian ini boleh diringkaskan kepada tiga poin:

1.      Rasulullah bertanyakan tentang hal kekhalifahan di hadapan saudara-maranya yang saat itu masih belum memeluk Islam. Bahkan di antara mereka ialah Abu Lahab yang amat memusuhi dakwah Islam. Justeru adalah mustahil Rasulullah ingin melantik seseorang daripada kalangan orang bukan Islam – seperti Abu Lahab – untuk menjadi khalifah umat Islam.

2.      Diriwayatkan bahawa Rasulullah bertanya: “Maka siapakah di kalangan kalian yang akan membantuku di dalam urusan ini dan dialah yang akan menjadi saudaraku, wasiku, dan khalifahku pada kalian?” Perhatikan bahawa Rasulullah tidak bertanyakan seseorang yang akan menjadi khalifah umat Islam tetapi khalifah pada kalian, yakni merujuk kepada saudara-maranya sendiri dari kalangan Bani ‘Abd al-Muthalib.

3.      Orang yang paling memahami Hadis al-Dar adalah ‘Ali bin Abi Thalib sendiri. Akan tetapi kita tidak pernah temui dalam mana-mana riwayat yang sahih bahawa beliau pernah meminta jawatan khalifah selepas kewafatan Rasulullah. Adakah ini bermakna ‘Ali menarik balik kesanggupannya menawar diri menjadi khalifah dan menderhakai kepercayaan Rasulullah terhadap dirinya? Atau adakah ‘Ali sendiri mengetahui sejak awal bahawa Hadis al-Dar tidak bermaksud melantik dirinya menjadi khalifah umat Islam? Setiap individu yang beriman, bertaqwa lagi berpemikiran sihat akan menafikan kemungkinan pertama dan membenarkan kemungkinan kedua.

Daripada perbahasan kita di atas, dapat diperhatikan bahawa Hadis al-Dar, sama ada ia bertaraf sahih atau hasan atau dha‘if, bukanlah dalil yang dapat dijadikan hujah untuk melantik ‘Ali radhiallahu ‘anh sebagai khalifah umat Islam. Tidak ada orang yang akan menjadikannya sebagai hujah melain mereka yang benar-benar fanatik dan mudah menuduh orang lain sebagai fanatik.

Kesimpulan:

  • Hadis al-Dar adalah sebuah hadis yang dha‘if.
  • Seandainya ia sahih, Hadis al-Dar hanya berperanan melantik ‘Ali sebagai khalifah ke atas ahli keluarga Rasulullah dan bukan ke atas umat Islam.

 

[1]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith al-Dar). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 123-125. Nukilan di atas diikuti dengan beberapa pembahagian perenggan oleh penulis (Hafiz Firdaus) bagi memudahkan kefahaman pembaca.

 

[2]           Ini adalah tambahan penulis (Hafiz Firdaus).

 

[3]           Yang benar adalah ‘Ali dan bukannya Rasulullah.

 

[4]           Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith al-Dar). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 129-130.

 

[5]           Tabaqat al-Mudallisin – perawi no: 125. Lebih lanjut lihat Abu Sa‘id bin Khalil – Jami’ al-Tahsil fi Ahkam al-Marasil – perawi no: 666 dan Ibrahim bin Muhammad – al-Tibyan li Asma’ al-Mudallisin – perawi no: 63.

 

[6]           al-Zahabi – al-Mizan al-‘Itidal – perawi no: 5274 dan Ibn Hajar al-‘Asqalani – Lisan al-Mizan – perawi no: 5269

 

[7]           Bagi Musnad Ahmad edisi 6 jilid, rujuk jld. 1, ms. 111.

 

[8]           Syu ‘aib al-Arna‘uth dan Basysyar ‘Awwad Ma’ruf – Tahrir Taqrib al-Tahzib – perawi no: 2787 dan Ibrahim bin Muhammad – al-Tibyan li Asma’ al-Mudallisin – perawi no: 36.

 

[9]           Burhan al-Din al-Halabi – al-Kasyf al-Hatsits ‘amman rumiya biwadh‘u al-Hadits
(
الكشف الحثيث عمن رمي بوضع الحديث) – perawi no: 363.

 

[10]          al-Zahabi – Mizan al-‘Itidal – perawi no: 3855, Ibn Hajar al-‘Asqalani – Lisan al-Mizan – perawi no: 4238 dan Burhan al-Din al-Halabi – al-Kasyf al-Hatsits ‘amman rumiya biwadh‘u al-Hadits – perawi no: 345.

 

[11]          Penjelasan kepada maksud Hadis al-Dar adalah dengan andaian ia bertaraf sahih atau hasan. Daripada penjelasan di atas akan dapat diperhatikan bahawa sekalipun Hadis al-Dar bertaraf sahih atau hasan, ia tetap tidak menjadi dalil yang dapat dijadikan hujah oleh Syi‘ah.

 

[12]          Ibn Katsir – Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim, jld. 3, ms. 328 (tafsir ayat 214 surah al-Syu‘ara’).

Sumber: eBook “Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah” By Hafiz Firdaus Abdullah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: