Hadits-Hadits Rasulullah Yang Dijadikan Hujjah Oleh Syi’ah: HADITS AL-TSAQALAIN

KEDUA : HADIS AL-TSAQALAIN

 

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda:

Ketahuilah wahai manusia, sesungguhnya aku hanyalah manusia. Aku merasakan bahawa utusan Tuhan-Ku (Malaikat Maut) akan datang dan aku akan memenuhinya.

Aku tinggalkan kepada kalian al-Tsaqalain (dua perkara yang penting): Yang pertama adalah Kitab Allah (al-Qur’an), di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya. Maka berpegang teguhlah dengan Kitab Allah.

(Perawi – Zaid bin Arqam – menjelaskan bahawa Rasulullah menekankan kepada berpegang dengan Kitab Allah. Kemudian Rasulullah menyambung):

(Yang kedua ialah) Dan Ahl al-Baitku, aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahl al-Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahl al-Baitku. Aku peringatkan kalian kepada Allah tentang Ahl al-Baitku.

Hadis ini digelar Hadis al-Tsaqalain berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam: “Aku tinggalkan kalian al-Tsaqalain……” Hampir senada dengan hadis ini ialah sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Wahai manusia! Sesungguhnya aku meninggalkan untuk kalian apa yang jika kalian berpegang kepadanya, nescaya kalian tidak akan sesat: Kitab Allah (al-Qur’an) dan keluarga Ahl al-Baitku.

Syi‘ah menjadikan hadis ini sebagai hujah seperti berikut:

  

HUJAH SYI‘AH                                              

Penjelasan Muhammad Mar‘i al-Amin adalah antara yang terbaik dalam mewakili hujah Syi‘ah terhadap Hadis al-Tsaqalain:[1]

Seorang yang insaf akan membuat kesimpulan bahawa hadith Thaqalain jelas menunjukkan kekhalifahan Amiru l-Mukminin dan anak-anak lelakinya semua sebelas orang imam maksum AS[2] kerana Nabi SAWAW[3] telah menyamakan mereka dengan Kitab al-Qur’an. Al-Qur’an adalah rujukan yang pertama bagi ummat Islam, tanpa dipertikaikan lagi sejak permulaan dakwah sehingga akhir dunia. Demikian juga ‘Ali dan kesebelas orang anak-anaknya AS akan mengakhiri dunia ini sepertilah al-Qur’an kerana beliau telah menjadikan dua khalifahnya di dunia ini. Dan kedua-duanya tidak akan berpisah sehingga kedua-duanya dikembalikan kepadanya di (Telaga) Haudh di hari kiamat. Dan beliau telah menjadikan berpegang kepada kedua-duanya sebagai syarat untuk tidak menjadi sesat. Dan sesiapa yang berpaling daripada kedua-duanya akan binasa kerana beliau menyamakan Ahlu -Baitnya dengan kitab Allah dan memerintahkan umatnya supaya berpegang kepada kedua-duanya sekali. Lantaran itu seorang itu tidak harus berpegang kepada salah satu daripada keduanya.

Justeru itu setiap mukallaf mesti berpegang kepada Thaqalain. Bukan hanya kepada Kitab Allah sahaja tanpa ‘itrah dan bukan al-‘itrah sahaja tanpa Kitab Allah. Oleh itu berpegang kepada kedua-dua sekali kerana ianya merupakan satu ikatan yang tidak dapat dipisahkan kerana ‘itrah adalah lisan yang bercakap untuk kitab yang membisu. Justeru itu kita tidak dinilai sekiranya kita berpegang kepada Kitab Allah tanpa menurut cara mereka. Kerana mengetahui ayat-ayat muhkam, mutasyabih, nasikh dan mansukh dan lain-lain, tidak tepat selain daripada penerangan dan penjelasan mereka. Lantaran itu berpegang kepada kedua-duanya akan menjamin kejayaan seseorang. Dan penentang terhadap kedua-duanya atau salah satu daripadanya akan membawa kepada kebinasaan dan kerugian. Kerana Allah SWT telah memerintahkan orang ramai supaya berpegang kepada kedua-duanya. Rasulullah SAWAW tidak menyuruh orang ramai untuk melakukan sesuatu dengan sia-sia dan tidak menegah sesuatu dengan sia-sia. Kerana beliau tidak bercakap dengan hawa nafsunya malah dengan wahyu yang diwahyukan kepadanya. Oleh itu berpegang kepada Kitab Allah dan ‘itrah yang suci adalah satu kewajipan bagi menjamin kejayaan manusia seluruhnya dengan nikmat yang abadi.

 ……Dari hadith Thaqalain ini menunjukkan kemaksuman Ahlu l-Bait AS sepertilah kemaksuman al-Qur’an yang tidak syak pada kemaksumannya kerana perintah Nabi SAWAW kepada ummatnya supaya merujuk kepada mereka selepasnya. Oleh itu segala urusan tidak akan diselesaikan melainkan oleh orang yang telah dipelihara dari kesalahan dan dosa. Dan dalil kemaksuman mereka ialah sabitnya kekhalifahan dan imamah untuk mereka. Justeru itu kemaksuman adalah menjadi syarat di dalam Khilafah dan Imamah. Dan orang yang selain daripada mereka tidaklah maksum secara ijmak.

Demikianlah betapa pentingnya kedudukan Hadis al-Tsaqalain di sisi Syi‘ah. Sebenarnya Hadis al-Tsaqalain juga memiliki kedudukan yang penting di sisi Ahl al-Sunnah. Ikutilah perbahasannya berikut ini.

 

 **********

JAWAPAN AHL AL-SUNNAH            

Perbahasan kita dimulakan dengan darjat Hadis al-Tsaqalain diikuti dengan maksudnya.

 

DARJAT HADIS AL-TSAQALAIN:

Hadis pertama:

 

Hadis: “Aku tinggalkan kepada kalian al-Tsaqalain…” dikeluarkan oleh Muslim di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 2408 (Kitab keutamaan para sahabat, Bab keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib). Selain itu ia juga diriwayatkan oleh beberapa sahabat yang lain dan dikeluarkan melalui beberapa jalan periwayatan yang lain sebagaimana yang tercatit di dalam kitab-kitab hadis.

 

Hadis kedua:

Hadis: “Sesungguhnya aku meninggalkan untuk kalian apa yang jika kalian berpegang kepadanya, nescaya kalian tidak akan sesat……” dikeluarkan oleh al-Tirmizi di dalam kitab Sunannya – hadis no: 3874 (Kitab Manaqib, Bab Manaqib Ahl al-Bait). Ia juga dikeluarkan oleh Ahmad, al-Thabarani dan al-Thahawi dan dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah – hadis no: 1761.

Sepertimana Hadis al-Ghadir, para pengkaji Syi‘ah merumuskan bahawa Hadis al-Tsaqalain juga diriwayatkan oleh puluhan orang sahabat dan tercatit dalam ratusan kitab rujukan Ahl al-Sunnah. Rumusan ini diterima dengan baik kerana para sahabat dan para tokoh Ahl al-Sunnah tersebut tidak sekadar meriwayat dan mencatit Hadis al-Tsaqalain akan tetapi mereka juga memahaminya dengan pemahaman yang benar. Bagaimanakah pemahaman tersebut? Ikutilah perbahasan seterusnya.

  

MAKSUD HADIS AL-TSAQALAIN

Hadis al-Tsaqalain adalah antara sebaik-baik dalil daripada sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang menafikan jawatan khalifah daripada Ahl al-Bait radhiallahu ‘anhum, sekali gus membatalkan doktrin Syi‘ah terhadap mereka. Lebih dari itu Hadis al-Tsaqalain juga membezakan siapakah yang berada di jalan yang benar dan siapakah yang berada di jalan yang sesat. Penjelasannya adalah seperti berikut:

 

Pertama:       Hadis al-Tsaqalain menafikan Rasulullah pernah mewasiatkan jawatan khalifah kepada Ahl al-Bait baginda.

Izinkan penulis memulai penjelasan ini dengan memberi satu contoh perumpamaan bagi memudahkan kefahaman para pembaca terhadap maksud sebenar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam Hadis al-Tsaqalain.

Umpamakan sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ayah, ibu, dan lima orang anak. Anak yang sulung sudah mencapai umur belasan tahun manakala yang bongsu berumur sekitar 8 bulan. Pada satu malam ayah dan ibu ingin keluar kerana ada jemputan majlis perkahwinan. Sebelum keluar rumah ibu berpesan kepada anak-anaknya:

Mak dan ayah hendak ke jemputan kahwin anak Pak Su. Along, Nurul, Amin dan Aminah, siapkan homework sekolah. Jangan tak siap sebab bulan depan dah nak exam. Sambil itu tengok-tengokkan adik. Ingat ya tentang adik! Tengokkan lampinnya dan jika menangis bancuhkan susu atau Nestum. Nanti bila mak balik, mak nak tengok sama ada homework dah siap dan lampin adik sudah ditukar atau belum.

 

Ibu telah meninggalkan dua pesanan penting (al-Tsaqalain) kepada anak-anaknya:

1.      Hendaklah disiapkan kerja sekolah.

2.      Diperingatkan tentang adik bongsu yang berumur lapan bulan.

Apabila ibu memperingatkan abang-abang dan kakak-kakak tentang adik mereka, ia bererti ibu meletakkan tanggungjawab di atas bahu abang-abang dan kakak-kakak. Tanggungjawab tersebut ialah menjaga hal ehwal adik bongsu mereka. Tidak sebaliknya, peringatan ibu tidak sekali-kali bermaksud menjadikan adik bongsu bertanggungjawab ke atas hal ehwal abang-abang dan kakak-kakaknya.

Demikianlah juga maksud Hadis al-Tsaqalain. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah meninggalkan kepada umat Islam dua pesanan yang penting:

1.      Hendaklah berpegang teguh kepada al-Qur’an.

2.      Diperingatkan tentang Ahl al-Bait radhiallahu ‘anhum.

Apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memperingatkan umat Islam tentang Ahl al-Bait baginda, ia bererti Rasulullah meletakkan tanggungjawab menjaga hal ehwal Ahl al-Bait baginda di atas bahu umat Islam. Tidak sebaliknya, kerana seandainya Rasulullah mengkehendaki Ahl al-Bait baginda bertanggungjawab ke atas hal ehwal umat Islam, nescaya baginda akan memperingatkan mereka (Ahl al-Bait) tentang tanggungjawab tersebut. Rasulullah akan berpesan, umpama: “Aku peringatkan kalian wahai Ahl al-Baitku kepada Allah tentang umat Islam ini……” .

Dengan meletakkan tanggungjawab hal ehwal Ahl al-Bait di atas bahu umat Islam, ia membuktikan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam sejak awal mengetahui bahawa jawatan khalifah akan dipegang oleh umat Islam secara umum, tidak khusus kepada Ahl al-Bait baginda. Bukti ini membatalkan dakwaan kononnya Rasulullah mengkehendaki atau pernah mewasiatkan jawatan khalifah kepada Ahl al-Baitnya. Bahkan ia menjadi bukti bahawa baginda sejak asal sememangnya tidak pernah mengkehendaki atau mewasiatkan sedemikian.

Tanggungjawab apakah yang perlu dipimpin dan dijaga oleh umat Islam ke atas Ahl al-Bait Rasulullah? Tanggungjawab tersebut ialah sikap kita kepada mereka. Hendaklah kita mencintai mereka, berselawat kepada mereka dalam solat, menghormati mereka dan berinteraksi dengan mereka secara sopan. Tidak boleh membenci, menghina dan bersikap biadap terhadap mereka. Selain itu hendaklah diperhatikan hal ehwal harian mereka dan menghulurkan bantuan di mana boleh. Dalam bab ini terdapat banyak hadis yang sahih daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.[4]

Tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang dipandang ringan oleh Ahl al-Sunnah. Ia sebenarnya merupakan salah satu daripada iktikad Ahl al-Sunnah sebagaimana terang al-Ajjuri rahimahullah:[5]

Setiap mukmin dan mukminah wajib mencintai Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, yakni Bani Hasyim. Mereka adalah ‘Ali bin Abi Thalib serta anak keturunannya, Fathimah radhiallahu ‘anha serta anak keturunannya, al-Hasan dan al-Husain serta anak keturunan mereka, Hamzah serta anak keturunannya dan ‘Abbas serta anak keturunannya.

Merekalah Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Setiap muslim wajib mencintai mereka, memuliakan mereka, menghormati mereka, bermuamalah dengan baik kepada mereka, sabar terhadap mereka serta mendoakan kebaikan untuk mereka.

Tanggungjawab menjaga urusan Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah kekal sehingga Hari Kiamat, atau yang lebih tepat sehingga ke pengumpulan di Telaga Haudh. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kalian apa yang jika kalian berpegang teguh kepadanya, pasti kalian tidak akan sesat sesudahku. Salah satu daripadanya lebih agung daripada yang lain:

(Yang pertama) ialah Kitab Allah (al-Qur’an) yang merupakan tali penghubung daripada langit ke bumi dan (yang kedua) ialah ‘Itrahku, iaitu Ahl al-Baitku. (Mereka Ahl al-Baitku) tidak akan berpisah (daripada aku) sehingga berjumpa kembali dengan aku di Telaga Haudh. Maka perhatikanlah bagaimana sikap kalian terhadap kedua-duanya sepeninggalan aku.

Hadis di atas dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan dinilai sahih oleh al-Albani. Rujuk Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3788 (Kitab Manaqib, Bab Manaqib Ahl al-Bait).

Terdapat dua pengajaran penting daripada hadis di atas, Pertama adalah sikap kita dalam mencintai, berselawat, menghormati dan bersopan terhadap Ahl al-Bait, juga dalam menjaga hal ehwal mereka. Ia berkekalan sehingga ke Hari Akhirat. Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berpesan: “(Mereka Ahl al-Baitku)  tidak akan berpisah (daripada aku) sehingga berjumpa kembali dengan aku di Telaga Haudh. Maka perhatikanlah bagaimana sikap kalian terhadap kedua-duanya sepeninggalan aku.” Ini sebagaimana pesan ibu kepada anak-anaknya dalam contoh di atas:  “Nanti bila mak balik, mak nak tengok sama ada homework dah siap dan lampin adik sudah ditukar.”

Kedua, apabila Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengingatkan umat Islam agar memerhatikan sikap mereka terhadap Ahl al-Bait baginda sehingga ke Hari Akhirat, bererti baginda sememangnya tidak pernah mengkehendaki atau mewasiatkan Ahl al-Baitnya menjadi khalifah umat Islam sehingga ke Hari Akhirat. Dalam hal ini terdapat pengecualian dalam dua suasana:

1.      Jika umat Islam sendiri yang melantik dan membai‘ah salah seorang Ahl al-Bait menjadi pemimpin mereka, maka ia dibolehkan. Ini kerana perlantikan tersebut bukan di atas kehendak Rasulullah tetapi di atas kehendak umat Islam sendiri. Sebagai contoh ialah perlantikan ‘Ali sebagai khalifah setelah terbunuhnya Utsman radhiallahu ‘anh.

2.      Imam Mahdi yang akan muncul pada akhir zaman di mana terdapat hadis-hadis sahih yang menerangkan bahawa beliau berasal daripada Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.[6]

 

 

Kedua:            Hadis al-Tsaqalain membatalkan doktrin Syi‘ah terhadap Ahl al-Bait.

Peringatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam Hadis al-Tsaqalain adalah supaya kita umat Islam menjaga sikap terhadap Ahl al-Bait baginda. Hendaklah kita mencintai, berselawat, menghormati dan bersopan terhadap Ahl al-Bait radhiallahu ‘anhum dalam batasan yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Sikap ini jangan dikurang dan jangan dilebih-lebihkan. Jangan dikurangi bermaksud jangan membenci, menghina dan bersikap biadap terhadap mereka. Jangan dilebih-lebihkan bermaksud jangan menetapkan bagi mereka sesuatu yang bukan merupakan hak mereka, jangan mengidolakan mereka dan apa-apa lain yang bersifat ghuluw (berlebih-lebihan, melampaui batas).

 

Hal ini dapat kita fahami lebih baik dengan kembali kepada contoh abang-abang dan kakak-kakak yang diperingatkan oleh ibu mereka untuk menjaga adik bongsu mereka. Hendaklah mereka menjaga adik bongsu mereka bersesuai dengan umurnya lapan bulan. Apabila lampinnya telah penuh, hendaklah diganti dengan lampin yang bersesuaian saiznya. Jangan diganti dengan lampin yang kecil atau seluar orang dewasa. Apabila dia menangis kelaparan, hendaklah diberi makanan yang yang sesuai seperti bancuhan susu bayi atau Nestum. Jangan dikurangi seperti diberi air kosong sahaja atau dilebih-lebihkan seperti diberi makanan orang dewasa.[7] Jika lampin dan makanan yang diberikan adalah tidak bersesuai dengan umurnya lapan bulan, bererti abang-abang dan kakak-kakak tidak menjaga adik bongsu mereka sepertimana yang sepatutnya. Ini pasti menimbulkan kemarahan ibu dan ayah sekembalinya mereka ke rumah.

Kembali kepada peringatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam Hadis al-Tsaqalain tentang Ahl al-Bait baginda, ia tidak sekadar ditujukan kepada mereka yang mengurangi hak Ahl al-Bait tetapi juga kepada mereka yang melebih-lebihkan hak Ahl al-Bait.

Di sini tidak ada aliran yang berlebih-lebihan dalam menetapkan hak-hak ke atas Ahl al-Bait Rasulullah melainkan aliran Syi‘ah. Mereka menetapkan hak khalifah, hak menggubal hukum syari’at, sifat maksum dan pelbagai lagi kepada Ahl al-Bait radhiallahu ‘anhum. Semua ini adalah hak-hak yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Sikap sebeginilah yang diperingatkan oleh Rasulullah dalam Hadis al-Tsaqalain.

Oleh itu yang benar-benar diperingatkan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam Hadis al-Tsaqalain dan yang benar-benar akan dipersoalkan di Telaga Haudh ialah aliran Syi‘ah itu sendiri. Inilah yang penulis maksudkan bahawa Hadis al-Tsaqalain membatalkan doktrin Syi‘ah terhadap Ahl al-Bait.

 

 

Ketiga:           Hadis al-Tsaqalain membezakan siapakah yang berada di jalan yang benar dan siapakah yang berada di jalan yang sesat.

Hadis al-Tsaqalain juga berperanan membezakan siapakah yang berada di jalan yang benar dan siapakah yang berada di jalan yang sesat. Benar atau sesat bergantung kepada pegangan seseorang kepada Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Ini berdasarkan sabda baginda yang bermaksud:

Wahai manusia! Sesungguhnya aku meninggalkan untuk kalian apa yang jika kalian berpegang kepadanya, nescaya kalian tidak akan sesat: Kitab Allah (al-Qur’an) dan keluarga Ahl al-Baitku.

Berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah bermaksud berpegang kepada hak-hak mereka, yakni mencintai mereka, berselawat, menghormati dan bersopan santun terhadap mereka. Barangsiapa yang berpegang kepada hak-hak Ahl al-Bait radhiallahu ‘anhum, nescaya dia berada di jalan yang benar.

Tidak berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah bermaksud menyalahi hak-hak mereka, sama ada dengan menguranginya atau melebih-lebihkannya sepertimana yang disebut beberapa perenggan di atas. Barangsiapa yang mengurangi atau melebih-lebihkan hak Ahl al-Bait, bererti dia tidak berpegang kepada Ahl al-Bait dan ini boleh membawanya ke jalan yang sesat.

Di sini perlu dibetulkan tiga takwilan Syi‘ah yang bersifat berlebih-lebihan terhadap hadis di atas:

1.      Berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak bermaksud menjadikan mereka sumber syari‘at Islam kerana mereka sendiri tertakluk kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

 

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. [al-Ahzab 33:36]

Ahl al-Bait termasuk dalam keumuman perintah “orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan” dalam ayat di atas. Mereka tidak memiliki wewenang untuk memilih atau membuat hukum tersendiri melainkan taat kepada ketetapan Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (al-Sunnah).

2.      Berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak bermaksud menjadikan mereka khalifah yang memimpin urusan umat Islam. Ini kerana syarat menjadi khalifah dalam Islam bukanlah keturunan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tetapi orang yang beriman dan beramal salih. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi. [al-Nur 24:55]

3.      Berpegang kepada Ahl al-Bait Rasulullah tidak bermaksud menjadikan mereka maksum. Ini jelas terbukti dalam riwayat-riwayat sejarah yang sahih di mana para Ahl al-Bait juga membuat kesilapan dalam tindak tanduk mereka.[8]

 

 Demikianlah penjelasan sebenar terhadap Hadis al-Tsaqalain. Ringkasnya terdapat tiga pengajaran penting dalam Hadis al-Tsaqalain:

1.      Hadis al-Tsaqalain menafikan Rasulullah mengkehendaki atau pernah mewasiatkan jawatan khalifah kepada Ahl al-Bait baginda.

2.      Hadis al-Tsaqalain membatalkan doktrin Syi‘ah terhadap Ahl al-Bait.

3.      Hadis al-Tsaqalain membezakan siapakah yang berada di jalan yang benar dan siapakah yang berada di jalan yang sesat.

Sebelum mengakhiri perbahasan tentang Hadis al-Tsaqalain, penulis menjangkakan ada dua kemusykilan yang bakal timbul, khasnya dari kalangan para pembaca yang sebelum ini lazim membaca tulisan tokoh-tokoh Syi‘ah:

 

Kemusykilan pertama:

Kenapakah dalam Hadis al-Tsaqalain, peringatan tentang Ahl al-Bait Rasulullah disebut secara bergandingan dengan al-Qur’an? Tidakkah pergandingan ini memiliki sesuatu nilai yang penting?

Penjelasan:

Pergandingan ini memang penting, iaitu supaya sikap kita terhadap Ahl al-Bait diukur berdasarkan petunjuk al-Qur’an. Tidak sekadar itu, ia juga diukur berdasarkan petunjuk al-Sunnah kerana di dalam al-Qur’an Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah berfirman:

Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (shallallahu ‘alaihi wasallam) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. [al-Hasyr 59:07]

Oleh itu apabila kita diperingatkan untuk menjaga hak-hak Ahl al-Bait, hak-hak tersebut perlu diukur mengikut petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah. Ukuran tersebut hendaklah berdasarkan pemahaman yang benar tanpa ditakwil atau dipaksa tafsirannya. Kemudian kefahaman tersebut hendaklah dipegang secara adil tanpa dikurangi atau dilebih-lebihkan.

 

Kemusykilan kedua:

Kenapakah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengulangi Hadis al-Tsaqalain beberapa kali di tempat-tempat yang berlainan? Bukankah ini menunjukkan ada sesuatu yang penting yang ingin baginda sampaikan, tidak sekadar untuk menjaga hak-hak Ahl al-Bait sahaja?

Penjelasan:

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengulangi Hadis al-Tsaqlain beberapa kali kerana baginda menyedari bahawa setelah kewafatannya nanti, akan ada aliran yang memperalatkan Ahl al-Bait baginda semata-mata untuk membenarkan doktrin mereka. Aliran ini benar-benar menyesatkan umat baginda daripada jalan yang benar, oleh itulah baginda mengulangi Hadis al-Tsaqalain beberapa kali mengingatkan besarnya musibah yang bakal menimpa umatnya secara umum dan Ahl al-Baitnya secara khusus. Ini tidak lain disebabkan oleh sikap baginda yang amat mengambil berat tentang umatnya, sama ada pada zaman hidup baginda atau selepas itu:

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. [al-Taubah 9:128]

Kebimbangan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ternyata benar. Sama-sama kita dapat perhatikan bagaimana aliran Syi‘ah memperalatkan Ahl al-Bait Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam demi membenarkan doktrin mereka. Tidak sekadar itu, dalam rangka membenarkan doktrin tersebut Syi‘ah juga memperalatkan al-Qur’an dan al-Sunnah dengan takwilan dan tafsiran yang batil. Sebelum ini dalam buku Siri Kedua[9] kita telah perhatikan bagaimana mereka memperalatkan al-Qur’an dengan takwilan dan tafsiran yang batil demi menegakkan doktrin mereka.

Setakat ini juga dalam buku Siri Ketiga ini kita dapat perhatikan bagaimana mereka memaksa-maksa tafsiran daripada Hadis al-Ghadir dan Hadis al-Tsaqalain padahal kedua-dua hadis tersebut dengan jitu membatalkan doktrin mereka. Seterusnya marilah kita membahas beberapa hadis lain yang dipaksa tafsirannya oleh Syi‘ah padahal hadis-hadis tersebut juga sebenarnya membatalkan doktrin mereka.

Kesimpulan mudah kepada para pembaca:

  • Hadis al-Tsaqalain adalah antara sebaik-baik dalil daripada sunnah Rasulullah yang menafikan jawatan khalifah daripada Ahl al-Bait, sekali gus memba-talkan doktrin Syi‘ah terhadap mereka. Hadis al-Tsaqalain juga membe-zakan siapakah yang berada di jalan yang benar dan siapakah yang berada di jalan yang sesat.
  • Apabila Rasulullah memper-ingatkan umat Islam tentang Ahl al-Bait baginda, ia bererti Rasulullah meletakkan tanggungjawab menjaga hal ehwal Ahl al-Bait baginda di atas bahu umat Islam. Ini membuktikan bahawa Rasulullah sejak awal menge-tahui bahawa jawatan kha-lifah akan dipegang oleh umat Islam secara umum, tidak khusus kepada Ahl al-Bait baginda.

  • Hadis al-Tsaqalain mengingatkan umat Islam untuk menjaga hak-hak Ahl al-Bait tanpa mengurangi hak-hak tersebut mahupun melebih-lebihkannya.

  • Apabila Rasulullah mengingatkan umat Islam tentang Ahl al-Baitnya, ia menunjukkan Ahl al-Bait baginda berada di bawah kepimpinan dan penjagaan umat Islam, bukan sebaliknya.
  • Syi‘ah telah menetapkan hak khalifah, hak meng-gubal hukum syari’at, sifat maksum dan pelbagai lagi kepada Ahl al-Bait. Semua ini adalah hak-hak yang tidak ditetap-kan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Sikap sebe-ginilah yang diperingat-kan oleh Rasulullah dalam Hadis al-Tsaqalain.



 


 

[1]           Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith Thaqalain). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 137-140

 

[2]           Yang dimaksudkan dengan “AS” ialah ‘alaihi salam, iaitu ucapan salam ke atasnya atau ke atas mereka.

 

[3]           Yang dimaksudkan dengan “SAWAW” ialah shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam, iaitu semoga Allah berselawat dan memberi salam ke atas baginda dan ahli keluarga baginda.

 

[4]           Untuk mengetahui hadis-hadis tersebut, rujuk buku 105 Hadis Keutamaan Ahlul Bait oleh Imam al-Suyuthi (edisi terjemahan oleh Arief Iskandar daripada judul asal Ihya’ al-Mayyit fi Fadha’il Ahl al-Bait; Hasyimi Press, 2001).

 

[5]           Al-Ajjuri (360H) – Kitab al-Syar‘iyyah, jld. 7, ms. 2276. Dinukil daripada kitab al-Ibanah lima li al-Shahabah min al-Manzilah wa al-Makanah oleh Hamd bin Abd Allah al-Humaidi (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari dengan judul Mengenal Keutamaan Mutiara Zaman; Darul Haq, Jakarta, 2002), ms161.

 

[6]           Bezakan bahawa Imam Mahdi yang dimaksudkan adalah berdasarkan iktiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah yang menetapkan bahawa beliau akan muncul pada akhir zaman. Imam Mahdi ini bukanlah imam kedua belas yang menjadi iktiqad Syi‘ah.

 

[7]           Ditarik benang merah, bahawa di atas hanyalah contoh bagi memudahkan kefahaman para pembaca. Tidak sekali-kali penulis bermaksud menyamakan kedudukan Ahl al-Bait dengan seorang bayi berumur lapan bulan.

 

[8]           Walaubagaimanapun iktiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah ialah mendiamkan diri terhadap apa-apa kesilapan para sahabat radhiallahu ‘anhum, termasuklah kesilapan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh. Oleh itu penulis tidak akan memberi contoh-contoh kesilapan yang dimaksudkan.

 

[9]           Iaitu Jawapan Ahl al-Sunnah Kepada Syi‘ah al-Rafidhah Dalam Persoalan Khalifah (Buku 2) Jahabersa, Johor Bahru 2004.

Sumber: eBook “Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah” By Hafiz Firdaus Abdullah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: