Hadits-Hadits Rasulullah Yang Dijadikan Hujjah Oleh Syi’ah: HADITS AL-MANZILAH

KEEMPAT : HADIS AL-MANZILAH

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah berkata kepada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh:

Apakah kamu tidak redha bahawa engkau di sisi aku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa.

Ahl al-Sunnah memahami hadis ini sebagai salah satu keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh. Akan tetapi Syi‘ah memiliki pemahaman yang lain. Ikutilah perbahasan seterusnya.

  

HUJAH SYI‘AH                                              

Muhammad Mar’i al-Amin berkata:[1]

Hadith ini menunjukkan keutamaan Amiru l-Mukminin Ali AS menjadi khalifah selepas Rasulullah SAWAW secara langsung tanpa memberi peluang bagi orang yang mengingkarinya untuk menentang Syi’ah al-Abrar, Syi’ah Ahlu l-Bayt AS.

Seterusnya beliau menukil kata-kata al-Amini daripada kitabnya al-Ghadir:[2]

Sabdanya: ‘Tidakkah anda meredhai bahawa anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa…..’ mensabitkan setiap sifat yang ada pada Nabi SAWAW dari segi martabat, amal, maqam, kebangkitan, hukum, pemerintahan dan ketuanan pada Amiru l-Mukminin selain daripada kenabian sebagaimana Harun di sisi Musa. Justeru itu beliaulah khalifahnya SAWAW, pengurniaan kedudukan Ali seperti kedudukan dirinya bukanlah dikurniakan begitu sahaja sebagaimana yang telah disangkakan oleh semua orang. Beliau telah melantik sebelum ini orang-orang tertentu di seluruh negara, dan beliau juga telah melantik beberapa orang dalam ekspedisi tentera, tetapi beliau tidak pernah bersabda sesuatu sebagaimana beliau bersabda kepada Ali AS. Justeru itu ianya suatu keistimewaan yang dikurniakan kepada Amiru l-Mukminin Ali AS.


 

JAWAPAN AHL AL-SUNNAH            

 DARJAT HADIS AL-MANZILAH.

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 3706 (Kitab Manaqib, Bab Manaqib ‘Ali bin Abi Thalib).

 

MAKSUD HADIS AL-MANZILAH.

Maksud hadis ini akan dapat difahami dengan mudah apabila kita mengkaji sebab kelahirannya:

Daripada Mush‘ab bin Sa’d, daripada ayahnya, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke ekspedisi Perang Tabuk. Baginda melantik ‘Ali menjadi penggantinya (menjaga Kota Madinah). Lalu ‘Ali berkata: “Adakah anda meninggalkan aku menjaga kanak-kanak dan wanita?” Rasulullah menjawab: “Apakah kamu tidak redha bahawa engkau di sisi aku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa, hanya tidak ada Nabi sesudah aku.”

Hadis ini dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 4417 (Kitab Maghazi, Bab ekspedisi Tabuk). Ringkasnya, setiap kali Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar untuk sesuatu ekspedisi perang, baginda akan melantik seseorang untuk menggantinya menjaga Kota Madinah. Ketika hendak keluar ke ekspedisi Perang Tabuk, Rasulullah telah melantik ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh untuk menjaga Kota Madinah. Namun ‘Ali merungut kerana beliau lebih suka pergi berperang daripada sekadar menjaga kanak-kanak dan para wanita di Kota Madinah. Untuk mententeramkan ‘Ali, Rasulullah menerangkan bahawa tugas yang diamanahkan kepada ‘Ali adalah tidak kurang pentingnya. Ia umpama tugas yang diamanahkan oleh Nabi Musa ‘alahissalam kepada Nabi Harun ‘alahissalam ketika beliau (Nabi Musa) disuruh keluar oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala selama empat puluh hari untuk menerima kitab Taurat. Hal ini dicatit di dalam al-Qur’an:

Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): “Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan.” [al-A’raaf 7:142]

Seterusnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyambung: “…hanya tidak ada Nabi sesudah aku.” Ini adalah untuk membezakan antara ciri para Nabi bagi kaum Bani Israil dan umat Muhammad. Bagi Bani Israil, mereka diwarisi oleh beberapa orang Nabi sesudah wafatnya Nabi Musa ‘alahissalam. Berbeza bagi umat Muhammad, mereka diwarisi oleh beberapa orang khalifah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari di dalam kitab Shahihnya – hadis no: 3455 (Kitab al-Anbiya’, Bab apa yang diperkatakan tentang Bani Israil):

 

Adalah Bani Israil dipimpin oleh para Nabi, setiap kali seseorang daripada Nabi mereka wafat, akan diganti dengan Nabi yang baru. Dan sesungguhnya selepas aku tidak akan ada Nabi lagi, akan tetapi akan ada para khalifah yang bertambah banyak.

Sabda Rasulullah “…hanya tidak ada Nabi sesudah aku” tidak merujuk kepada Nabi Harun sebagai khalifah sesudah Nabi Musa. Ini kerana Harun adalah seorang Nabi yang sezaman dengan Musa, tidak sesudahnya. Ia juga tidak ada kaitan dengan ‘Ali mahupun Ahl al-Bait baginda kerana sesudah kewafatan Rasulullah “…akan ada para khalifah yang bertambah banyak.” Ini menunjukkan bahawa jawatan khalifah adalah sesuatu yang terbuka kepada sesiapa jua, tidak terbatas kepada Ahl al-Bait Rasulullah.

Adapun hujah Syi‘ah untuk membuktikan kelayakan ‘Ali radhiallahu ‘anh menjadi khalifah berdasarkan Hadis al-Manzilah, ia ditolak oleh Hadis al-Manzilah itu sendiri. Marilah kita mengkaji dan menjawab satu persatu hujah al-Amini terhadap Hadis al-Manzilah:

 

Pertama:

Berkata al-Amini:

Sabdanya: “Tidakkah anda meredhai bahawa anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa…..” mensabitkan setiap sifat yang ada pada Nabi shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam dari segi martabat, amal, maqam, kebangkitan, hukum, pemerintahan dan ketuanan pada Amirul Mukminin selain daripada kenabian sebagaimana Harun di sisi Musa.

Jawapan:

Ini adalah satu dakwaan yang berlebih-lebihan. Sama-sama kita ketahui bahawa Nabi Musa dan Nabi Harun tidak memiliki kedudukan yang sama antara satu sama lain. Nabi Musa adalah seorang Rasul yang diutus kepada Bani Israil. Beliau dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala pelbagai mukjizat, antara yang paling utama ialah Allah berkata-kata secara terus kepada Nabi Musa. Nabi Musa juga dikurniakan kitab Taurat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Berbeza dengan Nabi Harun, beliau tidak memiliki semua keistimewaan di atas kecuali sebagai pembantu kepada Nabi Musa, umpama seorang menteri. Firman Allah:

Dan sesungguhnya Kami telah berikan Kitab Taurat kepada Nabi Musa, dan Kami lantik saudaranya Nabi Harun, sebagai menteri bersamanya. [al-Furqan 25:35]

Peranan utama beliau sebagai seorang menteri ialah kefasihan berkata-kata dalam rangka berdakwah kepada kaum Bani Israil:

Dan saudaraku: Harun, dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersama-samaku sebagai penyokong yang mengakui kebenaranku; sesungguhnya aku bimbang bahawa mereka akan mendustakan daku. [al-Qasas 28:34]

 

Demikian juga antara Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh. Terdapat perbezaan yang sangat besar antara kedudukan Rasulullah dan ‘Ali dari pelbagai sudut tanpa terhad kepada ciri kenabian sahaja. Lebih dari itu, jika orang-orang bersama Nabi Musa pada zamannya banyak yang membawa “masalah” kepada beliau, orang-orang yang bersama Rasulullah pada zamannya banyak yang membawa manfaat kepada baginda tanpa terhad kepada ‘Ali sahaja. Malah boleh dikatakan setiap seorang daripada mereka adalah menteri yang bersama-sama membantu baginda. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Nabi Muhammad ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). [al-Fath 48:29]

Adapun tujuan Rasulullah menyamakan kedudukan ‘Ali di sisinya kepada kedudukan Nabi Harun di sisi Nabi Musa, ia tidak lebih adalah untuk menerangkan kesamaan tugas yang diamanahkan kepada Harun dan ‘Ali. Ia tidak bererti kesamaan kedudukan secara keseluruhannya kerana sebagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun tidak memiliki kedudukan yang sama, maka Rasulullah dan ‘Ali juga tidak memiliki kedudukan yang sama.

 

Kedua:

Berkata al-Amini:

Justeru itu beliaulah khalifahnya shallallahu ‘alaihi wa alihi wa sallam……

Jawapan:

Dakwaan ini dibatalkan oleh Hadis al-Manzilah itu sendiri. Nabi Musa tidak pernah melantik Nabi Harun menjadi khalifah sesudah kewafatannya dan Nabi Harun sendiri tidak pernah menduduki jawatan khalifah kaum Bani Israil setelah kewafatan Nabi Musa.

Oleh itu, seandainya Hadis al-Mazilah dijadikan hujah untuk kesamaan kedudukan antara ‘Ali dan Rasulullah sebagaimana Nabi Harun dan Nabi Musa, maka ia menjadi hujah bahawa ‘Ali bukanlah orang yang sepatutnya menjadi khalifah sesudah kewafatan Rasulullah.

 

Ketiga:

Berkata al-Amini:

……pengurniaan kedudukan Ali seperti kedudukan dirinya bukanlah dikurniakan begitu sahaja sebagaimana yang telah disangkakan oleh semua orang. Beliau telah melantik sebelum ini orang-orang tertentu di seluruh negara, dan beliau juga telah melantik beberapa orang dalam ekspedisi tentera, tetapi beliau tidak pernah bersabda sesuatu sebagaimana beliau bersabda kepada Ali ‘alahissalam. Justeru itu ianya suatu keistimewaan yang dikurniakan kepada Amirul Mukminin Ali ‘alaihissalam.

Jawapan:

Benar bahawa menjadi kebiasaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melantik orang-orang tertentu dengan diamanahkan untuk mengetuai urusan tertentu. Benar juga bahawa baginda “tidak pernah bersabda sesuatu sebagaimana beliau bersabda kepada Ali”. Perbezaan ini berlaku kerana orang-orang lain yang diamanahkan oleh Rasulullah tidak merungut. Berbeza dengan ‘Ali, beliau merungut terhadap tugas yang diamanahkan oleh Rasulullah kepada beliau. Oleh kerana itulah Rasulullah bersabda sedemikian demi mententeramkan ‘Ali daripada rungutannya.

Satu pengajaran penting di sini adalah, rungutan ‘Ali kepada Rasulullah menunjukkan bahawa beliau adalah manusia biasa yang adakalanya cenderung kepada kehendak sendiri daripada mentaati perintah Rasulullah. Hakikat ini bukanlah mengurangkan keutamaan ‘Ali tetapi sekadar membuktikan beliau adalah manusia biasa yang tidak maksum.


Kesimpulan:

  • Hadis al-Manzilah menunjukkan keutamaan ‘Ali bin Abi Thalib.
  • Adapun hujah Syi‘ah untuk membuktikan kelayakan ‘Ali menjadi khalifah berdasarkan Hadis al-Manzilah ditolak oleh Hadis al-Manzilah itu sendiri.
  • Tujuan Rasulullah menyamakan kedudukan ‘Ali di sisinya kepa-da kedudukan Nabi Harun di sisi Nabi Musa tidak lebih adalah untuk menerangkan ke-samaan tugas yang diamanah-kan kepada Harun dan ‘Ali. Ia tidak bererti kesamaan kedu-dukan secara keseluruhannya kerana sebagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun tidak memiliki kedudukan yang sama, maka Rasulullah dan ‘Ali juga tidak memiliki kedudukan yang sama.

  • Hadis al-Manzilah bukanlah dalil kekhalifahan ‘Ali. Ini kerana Nabi Harun bukanlah khalifah pengganti Nabi Musa, maka demikian juga ‘Ali bukanlah khalifah pengganti Rasulullah.
  • Orang-orang lain yang diama-nahkan oleh Rasulullah tidak merungut. Berbeza dengan ‘Ali, beliau merungut terhadap tugas yang diamanahkan oleh Rasulullah kepada beliau. Oleh kerana itulah Rasulullah ber-sabda sedemikian demi men-tenteramkan ‘Ali daripada rungutannya. Sikap ‘Ali mem-buktikan bahawa beliau tidak maksum tetapi manusia biasa yang adakalanya merungut kepada Rasulullah.


 

[1]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith al-Manzilah). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 142.

 

[2]         Mengapa Aku Memilih Ahlul-Bait? (edisi muat turun internet, Bab: Hadith al-Manzilah). Bagi rujukan asal: Limaza Akhtartu Mazhab al-Syi‘ah?, lihat ms. 143.

Sumber: eBook “Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah” By Hafiz Firdaus Abdullah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: