Petunjuk al-Qur’an yang mengiktiraf kekhalifahan Abu Bakar r.a, ‘Umar r.a, ‘Utsman r.a, dan ‘Ali r.a.

Al-Qur’an al-Karim ialah kitab rujukan umat Islam yang lengkap lagi sempurna. Firman Allah ‘Azza wa Jalla:

Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab (Al-Quran) ini. [al-An’aam 6 :38]

Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman. [al-‘Araaf 7 :52]

Walaubagaimanapun kelengkapan dan kesempurnaan al-Qur’an bukanlah bererti ia menerangkan semua perkara secara terperinci tetapi bererti ia menggariskan segala asas dan pokok persoalan umat. Hal ini sepertimana yang pernah penulis terangkan dalam sebuah buku yang lain:[1]

 

Ketahuilah bahawa yang dimaksudkan oleh Allah Subhanahu waTa’ala apabila Dia menyatakan kesempurnaan, kelengkapan dan perincian kitab suci-Nya al-Qur’an al-Karim, adalah merujuk kepada peranan yang dimiliki oleh al-Qur’an sebagai “kitab induk” yang mengusulkan pelbagai kaedah dan cara bagi umat manusia menerima dan mempraktikkan risalah Allah dalam kehidupan harian mereka sehingga ke Hari Akhirat. Al-Qur’an adalah lengkap dan sempurna dalam konteks ia meletakkan asas-asas mentauhidkan Allah dan kaedah-kaedah menjanakan syari’at-Nya.

 

Demikian juga, apabila dikatakan kitab al-Qur’an tidak meninggalkan atau terlupa apa-apa, ia bererti al-Qur’an tidak leka atau lengah daripada menggariskan pelbagai kaedah serta prinsip penukilan hukum dan ajaran yang diperlukan umat untuk melaksanakan syari’at Allah yang indah ini dalam semua suasana dan keadaan.

 

Di dalam dialog sebelum ini, apabila Ja’far al-Shiddiq radhiallahu ‘anh ditanya sama ada kekhalifahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman ada di dalam Al-Qur’an, beliau tidak membaca apa-apa ayat yang ada menyebut nama Abu Bakar atau ‘Ali bin Abi Thalib kerana sememangnya ayat sedemikian tidak wujud. Sebaliknya Ja’far menjawab dengan membaca 3 buah ayat yang membentuk asas dan pokok dalam persoalan khalifah. Tiga ayat tersebut adalah:

Pertama:

 

Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat. [al-An‘am 6:165]

Kedua:

Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu khalifah bumi ? [al-Naml 27:62]

Ketiga:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa;

 

Dan Ia akan menguatkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka.

 

Dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).

 

Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. [al-Nur 24:55]

 

Penjelasannya adalah seperti berikut: Dua ayat pertama yang dibacakan oleh Ja’far al-Shiddiq berperanan menetapkan konsep khalifah di dalam Islam. Di samping itu ayat yang pertama menerangkan bahawa Allah ‘Azza wa Jalla meninggikan darjat sebahagian manusia di atas sebahagian yang lain. Mereka yang diangkat darjatnya oleh Allah, merekalah yang Allah jadikan khalifah di bumi ini sebagaimana ayat yang kedua.

Ayat yang ketiga memperincikan sifat-sifat yang wajib dimiliki oleh seorang Khalifah Allah, iaitu:

1. Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu … Hendaklah mereka terdiri daripada orang yang beriman dan beramal salih. Orang bukan Islam tidak boleh menjadi khalifah Allah. Demikian juga, orang yang leka dengan permainan nafsu dan kehidupan dunia sehingga mengabaikan amal salih tidak boleh menjadi khalifah Allah.

2. Menguatkan agama mereka … Khalifah-khalifah ini mengukuh dan menguatkan kedudukan umat Islam di muka bumi ini dengan melaksanakan kewajipan dakwah dan jihad. Pemimpin yang menyebabkan kelemahan umat Islam dengan meninggalkan kewajipan dakwah dan jihad terkeluar dari kategori Khalifah Allah.

3. Menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan … Khalifah-khalifah ini menjamin keamanan umat Islam dari segala bahaya yang wujud dalam pelbagai bentuk. Pemimpin yang leka daripada kewajipan ini tidak tergolong dalam kategori Khalifah Allah.

4. Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku … Khalifah-khalifah ini, dengan segala kejayaan yang telah mereka bawa kepada umat Islam, tidak menjadi leka atau sombong. Mereka tetap mentauhidkan Allah dan beribadah kepada-Nya.

Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhum menepati kesemua ciri-ciri khalifah yang ditetapkan oleh ketiga-tiga ayat di atas. Secara lebih terperinci:

 

Pertama: Allah meninggikan darjat mereka.

Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang menerangkan keutamaan dan kemuliaan para sahabat, diikuti dengan beberapa hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang mengkhususkan kemuliaan beberapa sahabat seperti Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali.[2]

Kedua: Allah menjadikan mereka khalifah.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjadikan mereka khalifah dengan memberi mereka:

 

1. Kelengkapan ilmu, yakni dengan pengalaman hidup yang lama di sisi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

 

2. Kelengkapan sifat kepimpinan, seperti pengalaman memimpin beberapa ekspedisi jihad dan dakwah.

 

3. Kemuliaan peribadi sehingga dihormati, disokong, diikuti dan ditaati oleh kaum muslimin.

Ketiga: Menguatkan agama.

Pada zaman pemerintahan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman, Islam berada dalam kedudukan yang amat kuat sehingga ditakuti oleh negara-negara yang lain. Malah kerajaan yang besar seperti Rom dan Parsi jatuh kepada kepimpinan Islam. Kekuatan Islam tetap bertahan pada zaman pemerintah ‘Ali. Sekalipun berlaku Perang Jamal dan Siffin pada zaman beliau, kedudukan umat Islam masih digeruni oleh negara bukan Islam.

Keempat: Menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan.

 

Pada zaman pimpinan Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman, musuh-musuh Islam seperti Kerajaan Rom, Parsi dan lain-lain bertekad untuk memerangi umat Islam. Akan tetapi ketiga-tiga khalifah ini berjaya menumpaskan kerajaan tersebut, menggantikan ketakutan kepada keamanan.[3]

 

Hal yang sama berlaku pada zaman pimpinan ‘Ali, hanya tumpuan adalah menjamin keamanan umat daripada musuh-musuh yang berselindung di kalangan umat. Ini berbeza dengan Abu Bakar, ‘Umar dan Utsman di mana tumpuan mereka adalah menjamin keamanan umat daripada musuh-musuh yang berada di luar kalangan umat.

Kelima: Terus beribadat tanpa menyekutukan Allah.

Di sebalik segala cabaran dan kejayaan yang mereka capai, Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali tidak menjadi leka atau sombong. Mereka tetap mentauhidkan Allah dan beribadah kepada-Nya sepenuhnya.

Demikianlah ciri-ciri Khalifah Allah yang semuanya dipenuhi oleh Abu Bakar, ‘Umar, ‘Utsman dan ‘Ali radhiallahu ‘anhum. Merekalah Khalifah Allah yang diiktiraf umat Islam. Sesiapa yang mengingkarinya, maka mereka dihukum oleh Allah sebagai “…orang-orang yang fasiq” sebagaimana firman-Nya di akhir ayat 55 surah al-Nur tersebut: Dan (ingatlah) sesiapa yang ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.[4]

Seandainya Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Utsman bukan merupakan Khalifah Allah yang hak sebagaimana dakwa Syi‘ah, pasti mereka bertiga tidak akan menepati ciri-ciri yang digariskan oleh ketiga-tiga ayat di atas, khasnya ayat 55 surah al-Nur. Seandainya benar mereka bertiga menyalahi petunjuk wahyu dan wasiat Rasulullah dalam kekhalifahan, pasti mereka menjadi pemimpin yang tidak beriman lagi berbuat banyak kerosakan. Islam pada zaman mereka lemah manakala umat dizalimi musuh. Tidak ada keamanan kecuali ketakutan dan suasana porak peranda.

Namun yang benar semua di atas tidak berlaku. Di bawah pimpinan mereka bertiga yang bercirikan keimanan dan ketaqwaan, Islam menjadi kuat manakala umat aman di bawahnya. Hakikat ini tidak lain menunjukkan bahawa mereka bertiga adalah Khalifah Allah yang hak.

Timbul persoalan lain: Wujudkah petunjuk al-Qur’an yang mengiktiraf Abu Bakar sebagai khalifah yang pertama bagi umat Islam setelah wafatnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ? Jawapannya terdapat di dalam ayat-ayat berikut:[5]

Orang-orang “A’raab” yang ketinggalan (tidak turut serta) akan berkata kepadamu (wahai Muhammad):

“Kami telah dihalangi oleh urusan menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami; oleh itu, pohonkanlah ampun kepada Allah untuk kami.” Mereka berkata dengan lidahnya apa yang tidak ada dalam hatinya.” [al-Fath 48:11]

Orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-sama kamu) akan berkata semasa kamu pergi mendapat harta rampasan (selepas berakhirnya peperangan):

“Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!”

Mereka (dengan itu) hendak mengubah janji Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi.” [al-Fath 48:15]

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tidak turut berjuang (bersama-samamu) dari kalangan kaum-kaum Arab Badwi:

“Kamu akan diajak menentang satu kaum yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya, atau mereka menurut perintah Islam (secara damai). Jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu dengan balasan yang baik (di dunia dan akhirat), dan kalau kamu berpaling ingkar seperti keingkaran dahulu, nescaya Allah akan menyeksa kamu dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” [al-Fath 48:16]

Penjelasannya, ayat-ayat di atas berada di dalam surah al-Fath, surah yang menerangkan perihal kejayaan umat Islam mengambil alih semula Kota Mekah. Ayat 11 yang bermaksud: Orang-orang “A’raab” yang ketinggalan … merujuk kepada sekumpulan kaum Arab Badwi yang enggan turut serta di dalam Perjanjian Hudaibiyah dan ekspedisi peperangan Pembukaan Kota Mekah (Fath al-Makkah). Mereka memberi alasan kononnya … menjaga keselamatan harta benda dan anak isteri kami. [ayat 11]

Akan tetapi apabila peperangan berakhir dan pasukan mujahidin Islam berjaya memperoleh harta rampasan perang, kumpulan Arab Badwi ini bertukar fikiran dengan berkata: “Biarkanlah kami turut serta dengan kamu!” [ayat 15]. Ini tidak diterima oleh Allah ‘Azza wa Jalla kerana keengganan mereka pada awalnya menyebabkan Allah menetapkan bahawa mereka tidak akan sekali-kali keluar dalam ekspedisi jihad bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Justeru Allah berfirman: Mereka hendak mengubah janji Allah. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami; demikianlah Allah menegaskan (larangan itu) semenjak dahulu lagi.” [ayat 15].

Walaubagaimanapun Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penerima Taubat memberi peluang kepada mereka untuk bertaubat dan kembali menyertai ekspedisi jihad. Hanya sahaja peluang ini tidak akan wujud bersama Rasulullah pada zaman Rasulullah kerana Allah telah menetapkan: “Kamu tidak dibenarkan sama sekali turut serta dengan kami……(Rasulullah)” [ayat 15].

Peluang ini hanya akan wujud selepas kewafatan baginda. Allah membuka peluang ini dengan menggunakan kata kerja akan datang (future tense) sebagaimana firman-Nya: “Kamu akan diajak menentang satu kaum……” [ayat 16] Peluang yang dibuka itu ialah ekspedisi jihad menentang kaum yang amat gagah, iaitu Kerajaan Rom atau Parsi atau mana-mana kerajaan lain di luar Semenanjung Arab yang memusuhi Islam. Ini sebagaimana firman-Nya: “Kamu akan diajak menentang satu kaum yang sangat kuat gagah……” [ayat 16] Untuk merebut peluang ini, mereka akan diajak sebagaimana firman Allah: “Kamu akan diajak……” [ayat 16].

Di dalam Fiqh Jihad, ekspedisi jihad dan kewajipan umat untuk menyertainya hanya sah di bawah perintah seorang khalifah.[6] Maka siapakah khalifah umat Islam selepas kewafatan Rasulullah yang menggerakkan ekspedisi jihad dan mengajak umat Islam menyertainya bagi menentang kaum yang sangat kuat gagah tersebut ?

Fakta sejarah mencatatkan bahawa Abu Bakar telah menggerakkan pelbagai ekspedisi jihad yang berjaya menumpaskan kerajaan-kerajaan lain yang kuat gagah, khasnya Kerajaan Rom yang berpusat di Syam. Selain itu usaha menumpaskan Kerajaan Parsi bermula sejak zaman beliau dan memperoleh kejayaan pada zaman pimpinan ‘Umar bin al-Khaththab. Yang mengajak umat Islam dalam ekspedisi-ekspedisi jihad ini ialah Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh.

Seandainya Abu Bakar bukan merupakan Khalifah Allah yang pertama yang berhak selepas kewafatan Rasulullah, pasti usaha … menentang satu kaum yang sangat kuat gagah … tidak berlaku pada zamannya. Beliau tidak akan menggerakkan apa-apa ekspedisi jihad dan tidak akan mengajak sesiapa menyertainya.

Seandainya Khalifah Allah yang pertama yang berhak selepas kewafatan Rasulullah ialah ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anh, maka ekspedisi jihad dan ajakan kepada umat Islam menyertainya bagi menentang kaum yang sangat kuat gagah hanya akan berlaku pada zaman pimpinan ‘Ali. Hakikatnya hal ini tidak pernah terjadi. Bahkan kerana priority menyelesaikan perselisihan umat, sejarah tidak mencatatkan apa-apa ekspedisi jihad mahupun ajakan menentang mana-mana kerajaan bukan Islam yang digerakkan oleh ‘Ali bin Abi Thalib pada zaman pimpinannya.

Justeru ayat 11 hingga 16 surah al-Fath di atas membuktikan kebenaran jawatan Khalifah Allah yang pertama yang disandang oleh Abu Bakar al-Shiddiq radhiallahu ‘anh sejurus selepas kewafatan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

 



[1] Iaitu buku 20 Hujah Anti Hadis dan Jawapannya (Jahabersa, Johor Bahru 2002), ms. 3.

[2] Terdapat banyak hadis tentang keutamaan dan kemuliaan para sahabat khasnya mereka berempat. Antara rujukan yang mudah diperolehi yang menghimpun hadis-hadis ini ialah kitab Misykat al-Mashabih (مشكاة المصابيح) susunan al-Khatib al-Tabrizi (737H) rahimahullah. Ia telah diterjemahkan ke dalam:

1. Bahasa Inggeris dengan judul al-Hadis (diterjemah beserta ulasan ringkas oleh Wali al-Din Abu ‘Abd Allah Mahmudi; Islamic Book Service, Delhi 1998). Lihat jld. 4, ms. 487 dan seterusnya.

2. Bahasa Indonesia dengan judul Piala Lampu-lampu Penerang (diterjemah oleh Yusuf ‘Ali; CV. Asy-Syifa’, Semarang 1993). Lihat jld. 6, ms 355 dan seterusnya.

Selain itu boleh juga dirujuk buku Mengenal Keutamaan Mutiara Zaman oleh Hamd bin ‘Abd Allah al-Humaidi (edisi terjemahan oleh Abu Ihsan al-Atsari; Darul Haq, Jakarta 2002).

Perlu diingatkan bahawa Syi‘ah sering kali mengemukakan pelbagai hadis tentang keutamaan dan kemuliaan ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain radhiallahu ‘anhum. Akan tetapi kebanyakan hadis ini adalah lemah (dha‘if) dan palsu (maudhu’). Pada waktu yang sama Syi‘ah sering kali menghina para sahabat yang lain. Untuk menjawab penghinaan ini, sila rujuk buku ‘Abd Allah ‘Abd al-Qadir al-Taliri
(
التليري) yang berjudul Kitab Fadha’il al-Shahabah wa al-Difa’ ‘an Karamatihim wa Bayan Khatar Mubghadihim wa al-Tha‘inin Fihim (و بيان خطر مبغضيهم والطاعنين فيهم) (Dar Ibn Hazm, Beirut 1999).

Antara sahabat yang banyak dihina oleh Syi‘ah ialah Abu Hurairah semata-mata atas alasan beliau sangat sedikit meriwayatkan, malah didakwa menyembunyikan hadis tentang keutamaan dan kemuliaan ‘Ali, Fathimah, Hasan dan Husain. Untuk menjawab kritikan-kritikan Syi‘ah ini, sila rujuk buku ‘Abd al-Mun‘im Shalih al-‘Aliy – Difa’ ‘an Abi Hurairah (Dar al-Qalam, Beirut tp.thn.). Bagi sumber selain bahasa Arab, rujuk buku Muhammad Ajaj al-Khatib yang berjudul Hadits Nabi Sebelum Dibukukan (edisi terjemahan oleh Akrom Fahmi; Gema Insani, Jakarta 1999), ms. 444 dan seterusnya.

[3] Lebih lanjut berkenaan kejayaan-kejayaan para khalifah ini, sila rujuk buku Tarikh al-Khulafa’ oleh al-Suyuthi (edisi terjemahan oleh Samson Rahman; al-Kautsar, Jakarta 2001).

[4] Perlu diingatkan bahawa ketiga-tiga ayat di atas, khasnya ayat 55 surah al-Nur hanya menggariskan ciri-ciri seorang khalifah tanpa menamakan siapakah khalifah tersebut. Bererti mana-mana pemimpin umat yang menepati ciri-ciri tersebut, dialah Khalifah Allah dan umat Islam wajib memberi janji taat setia (bai‘ah) kepadanya.

[5] Asalnya dikemukakan oleh Abu al-Hasan al-Asya‘ari rahimahullah di dalam Kitab al-Luma’ (Fasal ke 10). Rujukan penulis ialah edisi terjemahan oleh R.J. Mc Carthy atas judul The Theology of al-Ash‘ari (Imprimerie Catholique, Beirut 1953), ms. 112 dan seterusnya.

[6] Lebih lanjut lihat buku penulis: Apakah Jihad Di Jalan Allah ? Buku 2: Hukum dan Syarat-syarat Jihad (Jahabersa, Johor Bahru 2004), Bab 5.2 dan 6.4.

 

Sumber: eBook “Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi’ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah” By Hafiz Firdaus Abdullah

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: